NAZRIN Shah berkenan bertitah pada majlis pelancaran buku “Capital Market in Malaysia” di Suruhanjaya Sekuriti, hari  ini. FOTO Bernama
NAZRIN Shah berkenan bertitah pada majlis pelancaran buku “Capital Market in Malaysia” di Suruhanjaya Sekuriti, hari ini. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Buku mengenai pasaran modal negara terbitan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dilihat membantu persiapan Malaysia ke arah menjadi salah satu pasaran terbesar di Asean.

Diterbitkan sempena ulang tahun SC ke-30, buku berjudul 'Capital Market in Malaysia - Past, Present & Future' memaparkan wawasan yang mendalam mengenai pasaran dan pengawal selianya sejak 1993.

Ia ditulis wartawan veteran Jennifer Jacobs berdasarkan wawancara dan perbualan terkini bersama bekas Pengerusi dan pengurusan kanan SC, selain Pengerusi semasa, pengurusan kanan semasa, pakar industri, cendekiawan, pengawal selia lain serta pihak berkepentingan utama.

Beberapa cerapan mereka dikongsi secara terbuka buat pertama kalinya.

Ini termasuk pengalaman menangani krisis kewangan Asia 1997 dan 1998 serta isu mendesak lain sambil memastikan pasaran modal terus beroperasi dan pelabur kekal dilindungi.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam titah ucapan ketika mencemar duli pada pelancaran buku itu hari ini turut memuji inisiatif SC berikutan kandungannya berkisar realiti sebenar cabaran ekonomi yang turut menyentuh isu global.

"Buku ini benar-benar memberi penghargaan sewajarnya terhadap kewibawaan sesebuah pasukan dengan cara pemikiran, pendapat dan bakat individu bersatu sepanjang beberapa dekad untuk membina SC sehingga menjadi sebuah badan kawal selia yang terkenal di peringkat antarabangsa.

"Sepanjang tiga dekad sejarah SC, kita dapati caranya, tokoh utama dalam organisasi yang dilihat dan mendekati cabaran unik pada zaman mereka daripada pengerusi pertama SC, Tan Sri Munir Majid yang mengemudi institusi muda melalui krisis kewangan Asia kepada Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin ketika Covid-19 yang terpaksa menyusun semula rancangan dengan pantas untuk pertumbuhan yang mampan berikutan pandemik.

"Selain mendapatkan pandangan tentang pengendalian krisis sedemikian, kita juga belajar bagaimana individu berusaha untuk menangani masalah jangka panjang dan lebih sistemik.

"Sebagai contoh, semasa beliau berkhidmat, Pengerusi Tan Sri Md Nor Yusof berusaha untuk mengantarabangsakan pasaran Malaysia, membenarkan lima syarikat broker saham asing dan lima dana asing syarikat pengurusan untuk beroperasi di negara ini," titah baginda.

Baginda bertitah, untuk mengangkat kolaborasi SC-OCIS ke tahap yang lebih tinggi, Baginda dengan penuh takzimnya mengumumkan SC dan OCIS telah bersetuju untuk mewujudkan Kerusi di atas nama Sultan Nazrin Shah di Oxford Centre for Islamic Studies.

Majlis pelancaran buku itu dihadiri kira-kira 300 orang termasuk semua bekas Pengerusi SC, pemimpin dan pengamal industri pasaran modal.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menubuhkan SC pada 1993 dalam prakata berkata, buku berkenaan bukan sekadar merekodkan sejarah 30 tahun SC, namun memberi perspektif terhadap mereka yang bertanggungjawab di samping mendalami apa yang dilakukan dan mengapa sesuatu keputusan itu dibuat.

"Saya mengamanahkan SC untuk menerajui pembaharuan dan kemajuan selanjutnya bagi memastikan pasaran modal yang dinamik, menarik dan mesra pelabur," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi SC Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin yang mencetuskan idea penghasilan buku berkata, peranan dan sumbangan semua pengerusi SC dalam membentuk legasi SC diabadikan dalam naskah berkenaan untuk tatapan generasi akan datang.

"Sejarah itu sendiri menarik, tetapi alangkah lebih menarik apabila ia datang daripada mereka yang membantu membentuknya bermula daripada perintis awal SC kepada kakitangan pengurusan utama dan pemain industri.

"Pendek kata, ia mesti dibaca setiap individu yang berminat dengan sejarah kewangan dan korporat Malaysia," katanya.

Buku 'Capital Market in Malaysia - Past, Present & Future' boleh didapati sebagai e-buku di laman web SC (www.sc.com.my) dan di perpustakaan terpilih di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 2:46 PM