Sofan Feroza (kiri) bersama anaknya, Sofea Auni Adila yang ditemui selamat selepas hilang sejak Selasa lalu. FOTO IHSAN Keluarga
Sofan Feroza (kiri) bersama anaknya, Sofea Auni Adila yang ditemui selamat selepas hilang sejak Selasa lalu. FOTO IHSAN Keluarga
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tidak sampai beberapa jam selepas berita berhubung kehilangan remaja perempuan, Sofea Auni Adilah Sofan Feroza, 14, disiarkan media semalam, akhirnya remaja itu ditemui selamat.

Bapa remaja itu, Sofan Feroza Md Yusof, 45, berkata, selepas berita itu disiarkan semalam, dia menerima panggilan daripada orang awam yang anaknya berada di Kepala Batas, Pulau Pinang.

"Sebaik menerima berita itu, saya terus bergegas ke sana (Kepala Batas) dan sampai di sana jam 6.30 petang.

"Ketika sampai di sana, saya dapati anak saya ketika itu berada bersama seorang lelaki.

"Bimbang akan sesuatu terjadi pada Sofea Auni, saya kemudian membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sofan Feroza berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu pencarian selain menyebarkan maklumat kehilangan sehingga anak bongsu dari tiga beradik itu ditemui selamat.

Dia kemudian menyerahkan menyerahkan kes kepada polis untuk meneruskan siasatan.

Media sebelum ini melaporkan seorang pelajar tingkatan dua dipercayai hilang ketika pergi ke taman permainan di rumah ibunya di Bandar Aman Jaya, Sungai Petani pada petang Selasa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan remaja itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 3:58 PM