FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Peniaga runcit orang kurang upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, semalam, atas 28 pertuduhan memiliki 187 karton rokok seludup pelbagai jenama di kedainya empat tahun lalu.

Tertuduh, Yusof Ibrahim, 58, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam prosiding didengar Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut semua pertuduhan Yusof didakwa memiliki keseluruhan 187 karton rokok pelbagai jenama yang diperoleh secara haram.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di kedai runcit di Kampung Duyong, di sini, pada 3 September 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika disabitkan.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan fakta dan hukuman selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari bagi mendapatkan barang kes serta mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan dia seorang OKU fizikal serta menghidap pelbagai penyakit termasuk diabetes dan darah tinggi selain perlu menanggung seorang anak masih bersekolah dan isteri pesakit jantung.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan jaminan RM200 bagi setiap pertuduhan atau keseluruhan RM5,600 dan menetapkan kes untuk fakta dan hukuman pada 22 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 6:07 PM