Taman dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Muar selepas dipenjara 10 tahun kerana pukul rakan hingga mati. FOTO Alias Abd Rani
Taman dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Muar selepas dipenjara 10 tahun kerana pukul rakan hingga mati. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Muar: Lelaki warga Nepal yang memukul rakan menggunakan papan dipacak paku pada hujungnya hingga meninggal dunia enam tahun lalu, dipenjara 10 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Tertuduh, Taman Man Bahadur yang kini berusia 26 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid melalui pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, pekerja kilang perabot itu didakwa memukul rakan senegaranya, Pradhan Ranjit di asrama pekerja di Jalan Kesang Laut, Tangkak, antara jam 10 hingga 11.30 malam, 15 Oktober 2018.

Bagi pertuduhan mengikut seksyen ini, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan juga denda.

Berdasarkan fakta kes, mangsa ditemui maut dalam keadaan terlentang serta berlumuran darah dipercayai akibat dipukul dengan papan di bahagian muka dan kepala.

Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dan tindakan cabar-mencabar berlaku ketika kedua-dua mereka yang ketika itu bawah pengaruh alkohol.

Berikutan itu, Kamal Tamang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syamilah Jalaluddin manakala tertuduh diwakili Datin Kharen Jit Kaur.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira beberapa faktor antara kesalahan dilakukan amat serius.

"Ia mengambil kira fakta kes di mana tertuduh berkali-kali memukul mangsa tanpa belas kasihan malah meninggalkannya berseorangan di asrama dalam keadaan parah.

"Kesalahan dilakukan tertuduh menyebabkan kematian kepada mangsa, jadi pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan." hujahnya.

Sebelum itu, pihak peguam tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman minimum ke atas anak guamnya yang tidak memiliki rekod jenayah sebelum ini.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bermula dari tarikh ditangkap, 16 Oktober 2018.

Mahkamah juga memutuskan i-kad dan pasport tertuduh dikembalikan selepas selesai rayuan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2024 @ 6:19 PM