Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Perbuatan kejam seorang penganggur mencederakan isteri dan dua anaknya kerana berang tidak dibelikan rokok, terbalas apabila dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun atas empat pertuduhan dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Tertuduh, Rony Abraham, 37, yang berketurunan Filipina dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan pada sebutan semula kes itu hari ini.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nazifah Mohd Salleh, 38, dengan mencucuh puntung rokok di lengan kanan dan di tepi mata sebelah kirinya di rumah mereka di Bukit Tempayan, Tanjung Kling pada 17 Oktober lalu, antara jam 7 pagi hingga 11 pagi.

Dia didakwa melakukan kesalahan Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu.

Hakim Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 23 Oktober lalu dengan menimbangkan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan dia kurang kesedaran ketika kejadian akibat penyakit sawan dihidapinya selain masih berkahwin dan anak-anak masih kecil.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh atas kesalahan dilakukan.

Katanya, laporan psikiatri menunjukkan tertuduh faham sifat dan akibat perbuatannya selain mempunyai sejarah penggunaan barang terlarang.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, tertuduh turut mengaku bersalah atas tiga lagi pertuduhan mencederakan isterinya dengan cara memukul pipi kiri dan seluruh badan dengan menggunakan tangan.

Tertuduh turut didakwa memukul dua anaknya, Aryana Jasmyn Abdullah, 13, (tumbuk mulut hingga berdarah) serta Mohamad Adryan Danial, 12, (tendang belakang badan) di tempat, tarikh dan masa sama.

Bagi kesalahan itu dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman dalam penghakimannya menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan bermula dari tarikh sabitan hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri yang menjalankan pendakwaan memohon hukuman berat dan setimpal dikenakan kepada tertuduh kerana kesalahan adalah serius terhadap isteri dan anak-anak.

"Perbuatan tertuduh jelas melanggar tanggungjawabnya sebagai bapa dalam menjaga, memberi makan dan mewujudkan suasana harmoni dalam keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 3:34 PM
RONY Abraham dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun atas empat kesalahan mencederakan isteri dan dua anaknya.FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
RONY Abraham dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun atas empat kesalahan mencederakan isteri dan dua anaknya.FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad