SHARIL Amir (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO L Manimaran
SHARIL Amir (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Ipoh. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas dakwaan merogol seorang remaja perempuan yang juga pelajar Tingkatan 4, bulan lalu.

Tertuduh, Sharil Amir Shaari, 42, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang wanita yang ketika itu berusia 16 tahun satu bulan dalam kereta di kawasan parkir hadapan sebuah pasar raya di Seri Iskandar Prima, Seri Iskandar kira-kira 4 petang, 12 Januari lalu.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalufah manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid.

Qurratu'aini tidak menawarkan jaminan atas alasan kebimbangan tertuduh mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan dalam kes ini.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Mac depan untuk sebutan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 11:08 AM