Kereta dipandu mangsa yang hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam parit besar dipenuhi air di Jalan Lintas, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Kereta dipandu mangsa yang hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke dalam parit besar dipenuhi air di Jalan Lintas, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berdepan detik cemas selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam ke parit besar di Jalan Lintas, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu, wanita berusia 45 tahun yang memandu Perodua Axia sempat keluar dari kenderaan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu Perodua Axia dalam perjalanan ke tempat kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari arah Taman Inanam Laut.

"Ketika itu keadaan hujan lebat dan terdapat lopak air di jalan raya.

"Ketika melalui kawasan lopak air itu, kereta dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum terjunam ke dalam parit," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zaidi berkata, mangsa sempat keluar dari kenderaan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kemalangan itu tidak membabitkan mana-mana kenderaan lain.

"Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (LN 166/59)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 4:51 PM