KAWASAN kebun sayur yang diteroka secara haram sebelum ini akan ditanam 3,500 pokok.  FOTO Mohd Rafi Mamat.
KAWASAN kebun sayur yang diteroka secara haram sebelum ini akan ditanam 3,500 pokok. FOTO Mohd Rafi Mamat.
Mohd Rafi Mamat


SEBANYAK 3,500 pelbagai jenis pokok akan ditanam pada fasa pertama program pemulihan bekas tapak kebun sayur haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Ichat, Cameron Highlands.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, seluas tujuh hektar kawasan terbabit akan ditanam dengan pokok spesies Damar Minyak, Meranti Rambai Daun dan Merawan Siput Jantan.

Menurutnya, program menghijaukan kawasan tadahan air tanah tinggi terbabit bermula minggu ini membabitkan lebih 100 kakitangan Bahagian Pembangunan JPNP dan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub, PHD Bentong, Pejabat Ladang Hutan Kemasul, Temerloh, PHD Cameron Highlands dan Unit Penguat kuasa Pahang Barat.

“Program menghijaukan semula HSK Sungai Ichat perlu dilakukan bagi memastikan kawasan berkenaan terus terpelihara, seterusnya mengelak berlaku banjir lumpur dan hakisan.

“HSK Sungai Ichat yang berkeluasan 121 hektar sebelum ini diteroka secara haram dan dijadikan kebun sayur hingga menyebabkan berlaku pencemaran pada kawasan tadahan air penduduk setempat,” katanya hari ini.

Mohd Hizamri berkata, program tanaman di HSK Sungai Ichat akan dilakukan secara berterusan membabitkan beberapa fasa, yang akan turut dilakukan syarikat swasta pada masa depan.

Beliau berkata, selepas operasi bersih tahun lalu pihaknya mengadakan program penghijauan dengan menanam sebanyak 12,500 pelbagai spesies pokok di kawasan seluas 16 hektar.

Katanya, pihaknya memandang serius perbuatan meneroka kawasan hutan simpan di daerah ini bagi tujuan aktiviti kebun sayur.

Justeru, katanya, tindakan tegas menanti pihak terbabit yang bersikap degil dan tidak menghormati undang-undang.

“Op Lestari yang dilaksanakan kerajaan negeri membabitkan pelbagai penguat kuasa diharap dapat memberi kesedaran pada pihak terbabit supaya tidak sesuka hati meneroka kawasan hutan simpan di daerah ini.

“Kemusnahan alam semula jadi pasti berlaku sekiranya kerajaan tidak bertindak tegas dan sektor pelancongan di Cameron Highlands akan terjejas apabila peneroka hutan berlaku secara tidak terkawal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 11:24 AM