Abdul Rahemang Taiming


Tawau: "Syukur Alhamdulillah dengan kuasa Allah hari ini keadilan terbukti dan semua tuduhan palsu ke atas kami adalah fitnah," kata bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Datuk Mat Zaki Md Zain.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, melepaskan dan membebaskannya bersama tujuh yang lain daripada pertuduhan membunuh pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, 61.

Menurutnya, keputusan mahkamah hari ini menjadi detik bersejarah dan bersyukur kerana kebenaran akhirnya dibuktikan selepas genap setahun berada dalam tahanan sejak 25 Januari 2023.

"Saya tidak mahu komen pasal PDRM kerana saya masih dalam pasukan, tidak adil untuk saya hukum keseluruhan dalam PDRM.

"Lebih lapan tahun saya berkhidmad di Sabah sehingga terpaksa menjalankan perhubungan jarak jauh (PJJ) dengan keluarga demi mencurah bakti kepada negara.

"Tugas berat menjaga keselamatan pantai timur Sabah, sehingga tiada lagi kejadian penculikan untuk tebusan bukan tugas mudah," katanya sambil merakam penghargaan kepada semua pihak yang menyokong serta mendoakan mereka.

Sementara itu isterinya, Datin Kasmimi Hasan, 55, menyifatkan pembebasan suaminya bersama tujuh yang lain sebagai hari keadilan ditegakkan.

"Syukur Alhamdullilah, terima kasih kepada semua peguam, timbalan pendakwaraya, hakim dan media...

"Saya tidak tahu nak (hendak) cakap bagaimana kehidupan kami dalam tempoh setahun ini," katanya.

Seorang lagi tertuduh, Dennis Ak Enit menyatakan pembebasan mereka sebagai dibebaskan bermaruah selepas setahun ditahan.

"Kami terima ujian ini dengan redha dan benar,-benar bersyukur kerana pelaku sebenar sudah mengaku," katanya.

Isterinya, Christy Pepito, 42, menyatakan kehidupannya bersama tiga anak sukar tanpa suami yang berdepan pertuduhan yang tidak dilakukannya.

"Keluarga dan rakan-rakanlah yang membuat saya kuat... Saya tahu suami tidak bersalah," katanya yang hadir ke mahkamah bersama dua anak kecil setiap kali ada perbicaraan kes.

Rosdi Rastam pula mengucapkan terima kasih atas sokongan semua sejak kes tersebut berlaku.

"Alhamdulillah, pujian padanNya yang maha kuasa," katanya yang tidak dapat menahan sebak.

TerdahuludMat Zaki Md Zain, enam anggota polis dan seorang awam dibebas Dan dilepaskan daripada pertuduhan membunuh pemandu e-hailing, Nurman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 9:38 PM