Norzamira Che Noh

Shah Alam: Pasangan kekasih antara tiga individu ditahan dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi serbuan di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di Setia Alam dekat sini, minggu lalu.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas keseluruhan 46.137 kilogram (kg) dadah jenis ganja yang dianggarkan bernilai RM115,342.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kesemua individu berusia 27 hingga 35 tahun itu ditahan hasil risikan selama sebulan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan bantuan BSJN Klang Selatan dan Pasukan Polis Marin (PPM).

"Serbuan pertama dijalankan pada 6 petang 22 Disember lalu yang mana polis merampas 31 kg ketulan mampat daun kering disyaki ganja di tempat duduk belakang sebuah kereta.

"Kemudian, polis dengan dipandu oleh suspek membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Aman Perdana, Klang yang mana sekitar 15 kg ketulan ganja ditemui di bahagian dapur rumah yang disewa oleh salah seorang suspek.

"Kesemua ketulan ganja yang dirampas adalah berjumlah 46.137 kg yang dianggarkan bernilai RM115,342," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.

MOHD Iqbal (dua dari kiri) menunjukkan ganja yang dirampas. FOTO Faiz Anuar.
MOHD Iqbal (dua dari kiri) menunjukkan ganja yang dirampas. FOTO Faiz Anuar.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai aktif sejak empat tahun lalu dan memperoleh bekalan dadah dari utara tanah air.

Katanya, ujian saringan awal terhadap ketiga-tiga individu mendapati dua suspek lelaki positif dadah jenis THC.

"Semakan rekod lampau mendapati salah seorang suspek mempunyai tiga kes jenayah dan satu kes berkaitan dadah.

"Polis akan terus menjalankan siasatan bagi mengesan saki baki sindiket termasuk pembekal dadah," katanya.

Mohd Iqbal berkata, kesemua individu berkenaan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 5:10 PM