ANGGOTA BBP Sik mengeluarkan pemandu lori kurier yang terbabit dalam kemalangan di simpang tiga lampu isyarat Batu 5. FOTO ihsna bomba
ANGGOTA BBP Sik mengeluarkan pemandu lori kurier yang terbabit dalam kemalangan di simpang tiga lampu isyarat Batu 5. FOTO ihsna bomba
Zuliaty Zulkiffli


Sik: Pasukan bomba dan penyelamat menghadapi cabaran ketika cuba mengeluarkan pemandu lori kurier yang terbabit dalam kemalangan dengan Toyota Hilux di simpang tiga lampu isyarat Baru 5, di sini, hari ini, apabila berlaku percikan api ketika operasi sedang dilakukan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 7.45 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohd Hafizul Ishak tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Katanya, setibanya di lokasi didapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu lori kurier jenis Isuzu yang dipandu lelaki berusia 27 tahun dipercayai melanggar belakang Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 30-an.

"Kesan pelanggaran itu, Toyota Hilux terperosok dalam longkang namun pemandunya berjaya keluar dengan sendiri dan dihantar ke Hospital Sik oleh ambulans.

"Bagaimanapun pemandu syarikat kurier itu dipercayai terus bergerak meluncur laju sebelum melanggar tiang elektrik di persimpangan jalan menyebabkan pemandunya tersepit di bahagian kaki.

"Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan dengan berhati-hati dan mengalami kesukaran disebabkan aliran elektrik sehingga mengeluarkan percikan api bagi mengelak sebarang kemungkinan berlaku," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, anggotanya turut menggunakan peralatan khas 'rescue cutter' untuk membantu mengeluarkan mangsa.

Beliau berkata, mangsa yang cedera parah di kaki dan peha kemudian dihantar ke hospital menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Pasukan polis turut berada di lokasi kejadian untuk membantu mengawal keadaan lalu-lintas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 10:37 AM