Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Angkatan Pertahanan Awam (APM), Abdul Wahab Haji Rahim (kiri) merasmikan Majlis ‘Flag Off’ pasca bencana Pasukan Sukarelawan Penjawat Awam (PSPA). FOTO  Suhanna Iskandar
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Angkatan Pertahanan Awam (APM), Abdul Wahab Haji Rahim (kiri) merasmikan Majlis ‘Flag Off’ pasca bencana Pasukan Sukarelawan Penjawat Awam (PSPA). FOTO Suhanna Iskandar
Suharmin Yusuf dan Suhanna Iskandar


Kajang: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyasarkan 10,656 sukarelawan membabitkan 888 agensi kerajaan sebagai Pasukan Sukarelawan Penjawat Awam

(PSPA) bagi penugasan bantuan pasca bencana banjir di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (TPj) Operasi APM, Abdul Wahab Haji Rahim, berkata sehingga kini anggota PSPA bersiap sedia untuk ditugaskan di kawasan terjejas seluruh negara dianggarkan seramai 2,000 sukarelawan.

"Inisiatif PSPA ini berdasarkan Mesyuarat Pasca Kabinet, Jabatan Perdana Menteri pada 17 Mac 2023 yang memutuskan untuk menggerakkan sukarelawan dari pelbagai kementerian, jabatan dan agensi bagi penugasan bantuan pasca banjir ke kawasan yang terjejas.

"Setiap agensi di semua kementerian juga dimohon untuk menghantar pegawai yang akan menganggotai PSPA bagi menjalani Kursus Asas Sukarelawan Penjawat Awam (KASPA) yang dikoordinasikan oleh APM.

"Saranan untuk menggerakkan PSPA dari semua kementerian bertujuan untuk membantu kerja pembaikan dan pembersihan kemudahan awam yang terkesan akibat bencana banjir.

"Selain itu ia diharapkan dapat membantu mempercepatkan usaha pemulihan pasca bencana," katanya ketika Majlis Pelancaran (Flag Off) PSPA bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) di Ibu Pejabat APM, di sini, hari ini.

Katanya, PSPA kali ini akan digerakkan ke Kota Tinggi Johor membabitkan 15 sukarelawan dari Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) dan penugasan di Pekan, Pahang dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) seramai enam sukarelawan termasuk anggota APM.

"APM selaku penyelaras bagi pengurusan latihan dan atur gerak PSPA bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berharap supaya kerjasama yang diberikan oleh semua kementerian dalam merealisasikan gerak kerja PSPA di lapangan ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

"Pihak kami memerlukan sokongan dan komitmen yang tinggi dari semua kementerian dalam menjayakan penugasan ini," katanya.

Menurutnya, pihaknya terbuka untuk terima cadangan penambahbaikan di sepanjang penugasan yang dijalankan sekiranya ada untuk diberi nilai tambah dan diperkemaskan.

"Saya berharap semua sukarelawan yang terlibat sama ada di pihak APM sendiri mahupun PSPA perlu lebih bersedia dengan kelengkapan, kewangan dan logistik serta bersedia digerakkan bila-bjla masa apabila diperlukan" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 4:51 PM