SIEW Hong bersama peguam J Gunamalar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada Oktober tahun lalu (gambar fail). Foto Arkib NSTP
SIEW Hong bersama peguam J Gunamalar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada Oktober tahun lalu (gambar fail). Foto Arkib NSTP
Faris Fuad


Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan status quo agama Islam tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong yang ditukar secara sebelah pihak oleh bekas suaminya, Muhammad Nagashwaran Muniandy.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, bersidang bersama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli, memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan wanita terbabit terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Hadhariah berkata, Mahkamah Tinggi tidak menyentuh dua isu termasuk sama ada penukaran agama anak Siew Hong secara unilateral adalah sah ketika prosiding semakan kehakiman.

"Kedua, sama ada Seksyen 117(b) Enakmen Perlis atau Enakmen 4 adalah tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan.

"Kegagalan Mahkamah Tinggi menjawab dua isu ini menunjukkannya jelas tersalah arah yang membawa kepada kesilapan dalam undang-undang," katanya.

Pada 11 Mei tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, menolak permohonan semakan kehakiman Siew Hong bagi mencabar pengislaman ketiga-tiga anaknya oleh bekas suami yang memeluk Islam.

Wan Ahmad Farid dalam penghakimannya berkata, tiada bukti dikemukakan bahawa agama ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah ditukar semula kepada agama Hindu.

Katanya, ibu tunggal itu sendiri tidak pernah menafikan tiga anaknya masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat, walaupun ketika berada dalam jagaannya.

Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 25 Mac 2022 dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Menurut permohonan itu, wanita berkenaan antara lain memohon supaya anak-anaknya iaitu pasangan kembar perempuan berusia 16 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan memeluk agama Islam semua kanak-kanak itu bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.

Hadhariah berkata, pihaknya terikat dengan keputusan kes M Indira Gandhi bahawa penukaran agama anak bawah umur perlu mendapat persetujuan ibu dan bapa.

"Dalam kes ini, tidak dipertikaikan bahawa perayu (Siew Hong) tidak memberi persetujuan untuk anak ditukar agama kepada Islam.

"Kami membenarkan rayuan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei 2023, sekali gus membenarkan permohonan semakan kehakiman dan tiada perintah untuk kos," katanya.

Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak guru tadika, Indira Gandhi kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan ketika itu, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir dibuat Indira Gandhi berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya iaitu Tevin Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa kepada Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 3:10 PM