Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika ditemui media selepas membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap gerakan “Langkah Dubai” yang dikatakan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya hari ini. FOTO BERNAMA
Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika ditemui media selepas membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap gerakan “Langkah Dubai” yang dikatakan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin hari ini membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap gerakan "Langkah Dubai" yang dikatakan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada media selepas membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini hari ini, beliau berkata laporan polis itu juga sebagai isyarat kepada pihak bertanggungjawab agar menghentikan usaha sia-sia tersebut kerana ia bukan sahaja menganggu sistem demokrasi berparlimen malah mewujudkan ketidakstabilan politik negara.

"Kita mahu gerakan ini ditamatkan sebab tak nak rakyat kata kerajaan tak ambil tindakan. Saya harap pihak polis segera siasat agar mereka yang terbabit dihukum," katanya.

Beliau berkata laporan polis sama turut dibuat Angkatan Muda Keadilan di seluruh negara hari ini.

Ditanya tentang kesahihan kewujudan gerakan itu, Shamsul Iskandar yang juga Pengerusi Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan MADANI berkata beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Pada 30 Disember lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Datuk Ismail Yusop dilaporkan mendakwa "Langkah Dubai" timbul sewaktu percutian beberapa pemimpin pembangkang dan tokoh-tokoh dari pihak kerajaan, di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan pihaknya akan menjalankan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2024 @ 5:58 PM