Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Anis Syuhada Mohd Rosli


Kuala Lumpur: Pengusaha kantin sekolah meminta kerajaan membantu golongan itu yang tertekan dengan kenaikan harga barang mentah hingga menyukarkan mereka untuk menyediakan makanan yang bernutrisi kepada pelajar.

Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Siti Normah Md Desa berkata, pengusaha kantin juga mengalami kesukaran untuk menjamin kualiti dan kuantiti makanan ditawar disebabkan peningkatan kos yang mendadak.

Katanya, lebih membebankan mereka apabila harga makanan dan minuman yang dijual tidak dapat dinaikkan kerana mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Kalau harga makanan naik pun antara 10 sen hingga 50 sen sahaja, sedangkan harga bahan mentah melebihi kos yang sepatutnya dijual.

"Apabila harga bahan mentah meningkat, kami terpaksa mengubah suai menu makanan mengikut kos dan kuantitinya boleh jadi semakin sedikit, atau bahan mentah digunakan kurang berkualiti (disebabkan mahu jimat kos) dan ini boleh jejaskan kesihatan murid dan pelajar.

"Saya tidak risaukan keuntungan sangat, tetapi kesan kepada kesihatan murid kerana saya sendiri ada anak yang masih bersekolah. Jadi, makanan dengan bahan mentah kurang berkualiti, bermakna khasiatnya juga rendah," katanya.

Siti Normah berkata, adalah tidak adil buat pengusaha kantin untuk 'menyerap' kos tinggi bahan mentah sedangkan harga jualan makanan dan minuman tidak boleh dinaikkan sebarangan.

Disebabkan itu, beliau berharap kerajaan memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi pengusaha kantin dan membantu menyelesaikan beban berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 12:48 AM