ANTARA pendatang tanpa izin yang ditahan Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dalam operasi dari Selasa hingga Khamis lalu. FOTO IHSAN JIMNS.
ANTARA pendatang tanpa izin yang ditahan Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dalam operasi dari Selasa hingga Khamis lalu. FOTO IHSAN JIMNS.
Ahmad Hasbi


Seremban: Gempur premis dan lokasi perniagaan yang menjadi tumpuan pendatang asing tanpa izin (Pati) berkumpul atau berniaga secara haram di negeri ini.

Itu tindakan diambil Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) yang melakukan pemeriksaan mengejut di 19 premis di daerah ini, Nilai dan Port Dickson sebelum berjaya memberkas 80 pendatang haram.

Pengarahnya, Kennith Tan Ai Kiang berkata, operasi penguatkuasaan bermula Selasa lalu itu dilakukan hasil aduan awam.

"Seramai 80 Pati berusia 18 hingga 63 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah serta tinggal lebih masa.

"Pati juga didapati melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan," katanya semalam.

Tambahnya, Pati yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki warga Bangladesh, 31 lelaki dan 19 perempuan warga Indonesia, seorang perempuan dari Sri Lanka, dua lelaki warga India dan bakinya warga Myanmar serta Thailand.

"Mereka dihantar dan ditahan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.

"Lapan borang saman saksi juga dikeluarkan kepada majikan atau penjaga premis untuk hadir ke JIMNS bagi membantu siasatan," katanya.

Ujarnya, JIMNS berterima kasih kepada orang ramai yang telah membantu JIMNS dengan menyalurkan maklumat berhubung keberadaan Pati dan mengalu-alukan sebarang maklumat sedemikian.

"Kami juga ingin mengingatkan majikan supaya tidak menggaji atau melindungi Pati dan tindakan tegas boleh diambil jika berbuat demikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 2:05 PM