Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad
Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad
Amir Hamzah Nordin

Lipis: Ahli Parlimen Lipis menyelar sebuah klip video yang disebarkan oleh satu akaun YouTube yang mendakwanya berada di Dubai sebagai percubaan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menjatuhkan kerajaan perpaduan.

Ahli Parlimen itu yang juga Ketua Umno Bahagian Lipis Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, dalam klip video itu turut menyebut nama beliau sebagai antara yang terbabit dalam 'Langkah Dubai'.

"Saya sifatkan tindakan itu adalah bermotifkan tuduhan jahat yang sengaja diada-adakan untuk menimbulkan polemik serta tidak bertanggungjawab ingin mencetuskan kegelisahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Sedangkan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, saya sebagai Ahli Parlimen di sini berada di Malaysia khususnya di kawasan ini untuk memenuhi program dan menyantuni masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di sini, hari ini.

Rahman yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, walaupun pada penghujung tahun, beliau tetap bersedia memberi khidmat kepada masyarakat dan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang berlakunya banjir di sini.

"Tohmahan dan fitnah jahat terhadap pemimpin Barisan Nasional tidak seharusnya berlaku ketika Kerajaan Perpaduan kini mempunyai dua per tiga majoriti dan merupakan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil.

"Tuduhan seperti ini sangat berbahaya kerana situasi ini boleh mengganggu gugat kestabilan ekonomi dan memberi kesan kepada pelaburan asing dan sekali gus akan menjejaskan peluang pekerjaan khususnya untuk orang muda," katanya.

Menurutnya, bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang dan demi membersihkan namanya, tindakan undang-undang yang bersesuaian akan diambil terhadap Halim Romli Channel yang menggunakan media sosial sebagai medium hasutan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 3:35 PM