MALIK  Mohamed Zin. FOTO Hazreen Mohamad
MALIK Mohamed Zin. FOTO Hazreen Mohamad
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pegawai rendah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang dipindahkan ke negeri lain berhadapan dengan peningkatan perbelanjaan sehingga RM3,000 sebulan dan terpaksa menanggung beban hutang.

Malah, pegawai rendah yang dipindahkan itu terdiri daripada kumpulan pelaksana adalah golongan B40 ketika ini amat terkesan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Mendedahkan perkara itu, Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) Abdul Malik Mohamed Zin berkata, sebagai contoh pegawai yang bertugas di Johor dan kemudian diarah berpindah ke Melaka terpaksa menanggung peningkatan sara hidup sebanyak RM3,560 sebulan.

"Ini kerana mereka perlu menanggung kos rumah sewa, perbelanjaan bulanan keluarga, perbelanjaan kecemasan keluarga, perbelanjaan anak di institut pengajian tinggi (IPT), pelbagai bil dan kos pengangkutan keluarga.

"Peningkatan ini dianggarkan meningkat sebanyak 65 peratus sebulan yang bernilai RM42,720 setahun.

"Ada pegawai yang diarahkan untuk berpindah sudah 38 tahun berkhidmat dan menunggu hari untuk bersara," katanya kepada Harian Metro.

Abdul Malik berkata, pihak kesatuan menekankan akibat dan kesan yang akan dihadapi setiap pegawai yang ditukarkan dari sudut kenaikan kos sara hidup dan institusi keluarga.

"Kedudukan ekonomi kumpulan pelaksana pada masa kini sangat perit dan sentiasa tidak mencukupi.

"Pihak kesatuan bimbang akibat daripada pertukaran pegawai ini akan menyebabkan mereka berada dalam beban hutang yang serius dan disebabkan itu jugalah, pihak kerajaan sedang mengkaji struktur gaji penjawat awam bagi membantu ekonomi mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Malik berkata, setakat ini pihaknya menerima sebanyak 23 aduan membabitkan pertukaran dan pemindahan ahli di bawah kesatuan berkenaan.

"KPKSM akur dan tidak pernah mempertikai kuasa Ketua Pengarah JKDM untuk menukarkan pegawai selaras dengan pekeliling perkhidmatan sedia ada.

"Bagaimanapun, pihak pengurusan JKDM untuk melihat dari sudut kebajikan pegawai terlebih dahulu sebelum sebarang arahan pertukaran dikeluarkan dan membuka peluang untuk pegawai membuat rayuan," katanya.

Menurutnya, ahli kesatuan itu adalah kumpulan pelaksana yang melaksanakan tugas dan arahan yang diberi dan bukanlah daripada kumpulan yang membuat dasar.

"Pihak kesatuan menekankan bahawa pusingan kerja boleh dibuat di antara bahagian yang ada di dalam jabatan di lokaliti tempat bertugas tanpa perlu rentas negeri.

"Selama ini, JKDM melaksanakan pusingan kerja bermula setiap tiga tahun mengikut unit, cawangan dan bahagian, manakala pertimbangan untuk pertukaran antara negeri selepas lapan tahun, yang perlu dilihat dari pelbagai sudut dan semestinya aspek kebajikan diambil perhatian tanpa menjadikan ia sesuatu yang mutlak tanpa pertimbangan jawatankuasa panel pertukaran jabatan," katanya.

Terdahulu, KPKSM dalam sidang media khasnya mendesak pengurusan tertinggi JKDM supaya membatalkan arahan pertukaran di antara negeri membabitkan sebahagian pegawainya.

Arahan pertukaran yang dibuat Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin didakwa dibuat tanpa mengambil kira kebajikan pegawai terlebih dahulu, selain ia adalah muktamad dan sebarang rayuan tidak dibenarkan seperti dinyatakan dalam surat arahan pertukaran berkenaan.

Bagaimanapun, Anis Rizana dalam kenyataan balas selepas itu, memaklumkan arahan pertukaran itu adalah mengikut Perintah Tetap Perjawatan Bil 78 – Dasar Penempatan dan Pertukaran Pegawai JKDM, kaedah pelantikan pegawai dalam perkhidmatan awam dan urusan–urusan lain berkaitan pelantikan mengikut Ceraian UP.2.2.1 (Panduan Pertukaran Pegawai) yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ia tertakluk di bawah Pelan Antirasuah Nasional 2019–2023 (Semakan Semula Separuh Penggal), membabitkan inisiatif bagi mengukuhkan mekanisme dalam menguatkuasakan pusingan kerja secara mandatori kepada penjawat awam yang memegang jawatan sensitif.

Anis Rizana berkata, JKDM juga mengikuti dasar pelaksanaan penempatan dan pertukaran pegawai kerajaan ketika mengambil keputusan itu, antaranya membabitkan pertukaran pegawai yang berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun tetapi tidak melebihi lima tahun di sesuatu jawatan yang diklasifikasikan sebagai sensitif dan menukar pegawai yang sudah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun tetapi tidak melebihi lapan tahun di sesuatu jawatan yang diklasifikasikan bukan sensitif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 2:17 PM