LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Arahan penempatan dan pertukaran pegawai adalah selaras dengan perintah yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), kata Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Beliau berkata, dasar pelaksanaan penempatan dan pertukaran kerajaan adalah menukar pegawai yang sudah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun, tetapi tidak melebihi lima tahun di sesuatu jawatan yang diklasifikasikan sebagai jawatan sensitif.

Selain itu, katanya, menukar pegawai yang sudah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun tetapi tidak melebihi lapan tahun di sesuatu jawatan yang diklasifikasikan sebagai jawatan bukan sensitif.

Anis Rizana berkata, seseorang pegawai boleh ditukarkan sama ada atas arahan Ketua Pengarah Kastam atau atas permohonan pegawai sendiri yang dipersetujui oleh Ketua Pengarah Kastam berdasarkan kepentingan perkhidmatan tanpa terikat dengan tempoh perkhidmatan.

"(Bagi isu ini) kesemua pertukaran yang dilaksanakan membabitkan pegawai yang sudah berkhidmat melebihi tujuh tahun di lokaliti yang sama.

"(Bagaimanapun) JKDM memberi ruang bagi penangguhan pertukaran penempatan sementara mengikut permohonan dan sehingga kini beberapa pertukaran sudah ditangguhkan atas sebab-sebab keluarga, kesihatan dan persekolahan anak anak," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan sidang media oleh Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) yang minta supaya mengkaji semula arahan perpindahan yang dikeluarkan secara drastik membabitkan sejumlah besar pegawai jabatan itu.

Anis Rizana berkata, arahan itu mengikut Perintah Tetap Perjawatan Bil. 78-Dasar Penempatan dan Pertukaran Pegawai JKDM bertarikh 10 Ogos 2023 dan kaedah pelantikan pegawai dalam perkhidmatan awam dan urusan-urusan lain berkaitan pelantikan mengikut Ceraian UP.2.2.1 (Panduan Pertukaran Pegawai) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkuat kuasa 1 Januari 2022.

"Selain itu, ia juga tertakluk di bawah Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (Semakan Semula Separuh Penggal) di bawah Objektif Strategik 2.1: Merekayasa perkhidmatan awam ke arah tadbir urus baik membabitkan inisiatif bagi mengukuhkan mekanisme dalam menguatkuasakan pusingan kerja secara mandatori kepada penjawat awam yang memegang jawatan sensitif.

"Objektif penempatan dan pertukaran yang dilaksanakan dapat membantu memperkaya dan memperluaskan tugas kepada pegawai," katanya.

Anis Rizana berkata, pertukaran itu juga dapat menambah serta mempelbagaikan pengalaman, pendedahan dan proses pembelajaran dalam kalangan pegawai terbabit yang mana proses ini amat berguna untuk kemajuan kerjaya mereka.

"Selain itu, ia juga dapat meningkatkan produktiviti seseorang pegawai dan seterusnya organisasi tempat mereka berkhidmat serta membolehkan pegawai melihat organisasi yang mana mereka ditempatkan dari perspektif berbeza.

"Dengan itu mereka diharap dapat mencuba pendekatan baharu yang boleh mempertingkatkan lagi keberkesanan organisasi.

"Pada masa sama, ia dapat mencegah sebarang kemungkinan berlakunya penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah," katanya.

Beliau berkata, JKDM sentiasa memberi penekanan serius kepada kebajikan warga jabatan, selaras dengan hasrat untuk mewujudkan sebuah organisasi yang efisien di bawah elemen cekap, tangkas dan integriti bagi menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara melalui kecekapan pungutan hasil kerajaan, fasilitasi perdagangan dan bekerjasama erat dengan semua pemegang taruh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 8:57 PM