Zaid Salim


Kuala Terengganu: Kanak-kanak lelaki yang hilang semalam, selepas mandi di Sungai Tok Hakim, Kampung Tok Hakim di sini, ditemui lemas pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat (SAR), Rozizah Abni Hajar berkata, mayat Muhamad Harraz Ilman Mohd Syahril Redhuan, 11, ditemui pada 11 pagi di dasar sungai berkedalaman 1.5 meter.

Katanya, mayatnya ditemui tertiarap di dasar sungai pada jarak 30 meter dari lokasi terakhir dia dilihat.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bagi tindakan lanjut," katanya ketika ditemui.

Semalam, mangsa bersama adiknya, Muhammad Firas Wafiy, 9, dan rakan mereka, Wais Alqarni Mahadi, 12, mandi di sungai itu pada 4 petang, sebelum mereka dihanyutkan arus.

Muhammad Firas dan Wais Alqarni bagaimanapun sempat diselamatkan penduduk yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 12:01 PM
Mohd Shahril Ridzuan tidak dapat menahan kesedihan melihat mayat anaknya yang ditemui di dasar Sungai Tok Hakim, hari ini. FOTO Ghazali Kori.
Mohd Shahril Ridzuan tidak dapat menahan kesedihan melihat mayat anaknya yang ditemui di dasar Sungai Tok Hakim, hari ini. FOTO Ghazali Kori.