GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Ampang: Mahkamah Majistret di sini hari ini terpaksa menangguhkan pertuduhan ke atas lelaki warga Rohingya yang didakwa membunuh lelaki warga asing, 10 Disember lalu.

Majistret Normaizan Ramli memutuskan demikian selepas tertuduh, Shah Alam Abu Boshor, 26, mendakwa tidak memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya dalam bahasa Melayu.

Dalam prosiding hari ini, Shah Alam mendakwa hanya memahami bahasa Myanmar atau Rohingya.

Normaizan kemudiannya menetapkan 6 Mac depan untuk sebutan semula kes bagi tujuan penyediaan khidmat jurubahasa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pertuduhan terhadap lelaki warga asing itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis menahan empat lelaki dan seorang wanita warga asing yang terbabit dalam pergaduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warga asing dalam serbuan berasingan di Kuantan, Pahang dan Pandan Indah, di sini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi mengesahkan kejadian itu dan suspek ditahan bagi membantu siasatan.

Pergaduhan terbabit berlaku di hadapan kedai runcit di Taman Pandan Jaya, di sini, dipercayai bermula pertengkaran disebabkan mabuk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 11:10 AM