ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa terperangkap di Pos Blau. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa terperangkap di Pos Blau. FOTO Ihsan JBPM
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Empat lelaki termasuk dua lelaki warga Myanmar di sini, berdepan detik cemas apabila terperangkap di atas pokok lebih empat jam apabila kediaman mereka dinaiki air pagi tadi.

Mangsa masing-masing dua warga emas berusia 69 tahun dan dua pekerja lelaki warga asing dari Myanmar tidak sempat keluar ke kawasan bukit sebelum diselamatkan 5 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang Nor Azizi Che Noh, berkata, pihaknya menerima panggilan 7.31 pagi dan sampai lokasi pada 8.42 pagi.

Katanya, pihaknya mengambil hampir 45 minit untuk membantu menurutkan dan membawa mereka ke tempat yang lebih selamat.

"Difahamkan sudah empat jam mereka berada diatas Pokok Rambai terbabit sebelum kami sampai di tempat kejadian. Ketika berada di atas pokok mereka sempat menghubungi majikannya memaklumkan kejadian.

"Sejurus menerima menerima panggilan, kami bergegas keluar ke lokasi dengan menggunakan tiga kenderaan pacuan dan sebuah bot penyelamat yang diketuai oleh saya sendiri.

"Kami berjaya meredah arus sungai sebelum membawa turun mangsa dari atas pokok ke tempat selamat," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurut beliau, kejadian awal pagi itu berlaku di sebuah kebun sayur berhampiran dengan jalan Gua Musang-Lojing di Pos Blau.

"Banjir yang berlaku di laluan terbabit turut memberi kesan kepada kebun sayur tempat mangsa berkerja malah menyebabkan laluan terputus dari kedua-dua arah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 2:02 PM