RAKAMAN gambar tular di media sosial
RAKAMAN gambar tular di media sosial
Omar Ahmad


Johor Bahru: Perselisihan faham kerana bunyi bising menjadi punca pertikaman lidah antara jiran di sebuah apartmen di Taman Universiti, Skudai di sini.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 8 Disember lalu, lebih kurang 12.30 tengah malam.

Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu lebih kurang 3.43 petang semalam.

"Polis mengesan video tular di laman sosial berkenaan pergaduhan mulut antara jiran. Pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham kerana bunyi bising sehingga menimbulkan rasa tidak senang penghuni lain.

"Kes disiasat mengikut seksyen 13 (1) Akta Kesalahan-kesalahan kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Jeffri Joni di talian 011-65141322

Dalam video tular berdurasi satu minit 58 saat yang dimuat naik di media sosial memaparkan seorang lelaki memarahi seorang wanita yang juga jiran di hadapan rumahnya.

Lelaki itu mendakwa ketika itu sudah lewat malam dan tidak dapat tidur kerana namun terganggu dengan bunyi bising.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 11:46 AM