TAHANAN yang melarikan diri dari Lokap Berpusat Kepayan, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Polis
TAHANAN yang melarikan diri dari Lokap Berpusat Kepayan, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan Polis
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang tahanan meloloskan diri dari Lokap Berpusat Kepayan, di sini, tengah hari tadi.

Tahanan Nazri Hassan, 33, dipercayai melarikan diri ketika diiring oleh anggota petugas lokap ke bilik siasatan untuk tujuan soal siasat, kira-kira 12.30 tengah hari.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Shahurinain Jais berkata, tahanan dipercayai memanjat pintu jeriji lokap mengikut tingkap di ruang senaman.

"Seterusnya tahanan keluar dari bangunan lokap dan memanjat pagar luar lokap sebelum melarikan diri.

"Petugas lokap mengejar namun gagal apabila tahanan berlari laju ke kawasan belukar berhampiran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahurinain berkata, suspek berpakaian lokap berwarna ungu ketika melarikan diri.

Katanya, suspek sebelum ini direman bermula 10 hingga 18 Disember ini atas kesalahan mengikut Seksyen 431 A Kanun Keseksaan

"Gerakan mengesan tahanan sedang dilaksanakan menerusi Op Tutup dan semua elemen.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan tahanan terbabit diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 9:33 PM