Nor Syamsita Hussin, 43, menunjukkan ikan budu yang diprosesnya dan perlu diperam antara empat hingga lima bulan sebelum dapat dimakan. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Nor Syamsita Hussin, 43, menunjukkan ikan budu yang diprosesnya dan perlu diperam antara empat hingga lima bulan sebelum dapat dimakan. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris


Tumpat: Musim tengkujuh di negeri ini bukan sahaja popular dengan putu halba tapi juga kewujudan ikan budu yang memang dinanti-nantikan penggemarnya.

Meskipun baunya sangat 'istimewa' seperti ikan pekasam, ikan budu yang diperam dengan garam kasar serta asam keping dalam tempoh empat hingga lima bulan menjadi lauk kegemaran sebagai pembangkit selera.

Pembuat ikan budu dari Kampung Tanjung Kuala, di sini, Nor Syamsita Hussin, 43, berkata, ikan budu sentiasa ditunggu oleh pelanggannya setiap kali menjelang musim tengkujuh dan sebagai persediaannya, dia sudah mula memproses ikan budu, sejak April lalu lagi.

"Proses perapannya memakan masa antara empat hingga lima bulan dan bahan yang digunakan tidak banyak, hanya garam kasar serta asam keping.

"Ikan akan dibersihkan terlebih dahulu dan dimasukkan ke dalam tong yang sudah diisi dengan garam kasar sebelum diletakkan kepingan asam keping dan dilapisi lagi dengan garam yang banyak.

"Ikan yang diperam itu akan dibiarkan dalam tong selama beberapa bulan dan prosesnya sama seperti membuat budu, maka sebab itulah ia dipanggil ikan budu, sedangkan ramuannya langsung tiada penggunaan budu," katanya ketika ditemui di sini.

Nor Syamsita yang juga peniaga ikan di Pasar Sumayyah, Tumpat, berkata, sudah hampir tujuh tahun dia menghasilkan dan menjual ikan budu dengan memperoleh resepi memproses daripada arwah ibunya.

Kata ibu kepada lima cahaya mata itu lagi, dalam masa dua minggu, dia mampu menjual kira-kira 100 kilogram (kg) ikan budu kepada pembeli di pasar terbabit berikutan permintaan terhadap ikan itu sangat menggalakkan.

Menurutnya, ikan budu berbeza dengan ikan pekasam, ikan masin serta ikan bekok walaupun mempunyai cara penghasilan seakan sama namun tempoh peraman tidak sama.

"Rasa dan cara masakannya juga berbeza kerana ikan budu perlu direndam kira-kira setengah jam sebelum dimasak bagi mengurangkan rasa masin sebelum digoreng bersama bawang serta telur dan diperah asam limau.

"Ikan budu juga boleh dimasak gulai lemak serta dijadikan sambal yang dimakan bersama pulut dan ubi kayu.

"Dari segi harga pula, saya menjual ikan budu mengikut jenis dan saiz ikan iaitu antara RM2 hingga RM20 seekor," katanya yang menggunakan ikan kembung, selar dan ikan tongkol untuk menghasilkan ikan budu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 9:54 AM