GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ilah Hafiz Aziz

Kuala Lumpur: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) memutuskan untuk memberi keutamaan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin yang memaklumkan, ia susulan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech terhadap individu berusia 12 tahun ke atas.

"Alhamdulillah! Cadangan KPM (Kementerian Pendidikan) agar murid kelas peperiksaan diberi keutamaan untuk divaksin telah dipersetujui oleh CITF yang dipengerusikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau turut memaklumkan sehingga kini, lebih 90,000 guru sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik. Percayalah, sekiranya kita bersatu hati, kita pasti akan #MenangBersama," katanya.

Radzi berkongsi rakaman video yang memaparkan Khairy dalam webinar dihoskan Oxford and Cambridge Society of Malaysia, semalam yang menjawab soalan mengenai pemberian vaksin kepada kumpulan pelajar sekolah.

Khairy dilapor berkata, data peperiksaan tahunan diterima daripada Radzi menunjukkan terdapat 357,00 pelajar dan 47,000 guru di tingkatan lima, dengan kerajaan berusaha untuk vaksinasi golongan itu terlebih dahulu supaya berpeluang kembali ke sekolah .

Kelmarin, penggunaan vaksin Comirnaty buatan Pfizer-BioNTech diluluskan bagi golongan berusia 12 tahun dan ke atas menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilapor berkata, kelulusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-359.

Sebelum ini, vaksin Comirnaty diberi kelulusan pendaftaran bersyarat pada 8 Januari lalu untuk tujuan imunisasi aktif kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 8:37 PM