Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) berkenan melancarkan Buku Garis Panduan Pengurusan Kewangan, Perolehan dan Aset Masjid dan Surau Negeri Selangor Tahun 2023 di Istana Alam Shah  hari ini. FOTO BERNAMA
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (kanan) berkenan melancarkan Buku Garis Panduan Pengurusan Kewangan, Perolehan dan Aset Masjid dan Surau Negeri Selangor Tahun 2023 di Istana Alam Shah hari ini. FOTO BERNAMA
Oleh Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan Buku Garis Panduan Pengurusan Kewangan, Perolehan Dan Aset Masjid Dan Surau Negeri Selangor Tahun 2023 yang sudah diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Menerusi kenyataan, baginda bertitah, garis panduan itu sangat bersesuaian dengan keperluan semasa dan disusun dengan beberapa penambahbaikan bagi meningkatkan tahap tatakelola dan tadbir urus yang cekap.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) supaya memastikan semua masjid dan surau di negeri ini menyediakan Penyata Kewangan Tahunan Beraudit untuk diperiksa dan disemak

"Pengurusan perolehan juga perlu diurus dengan tatakelola yang betul agar tidak melibatkan ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa.

"Bagi memastikan ketetapan di dalam garis panduan ini dapat difahami oleh semua pentadbir masjid dan surau, beta berharap Mais dan Jais dapat melaksanakan program latihan yang intensif dan berterusan dengan menerapkan kaedah latihan yang bersesuaian dengan latar belakang pentadbir.

"Beta yakin, masjid dan surau yang mempunyai sistem pengurusan kewangan yang baik akan lebih diyakini dan akan terus mendapat kepercayaan masyarakat untuk terus memberi sumbangan dan infaq mereka.

"Beta berharap agar buku garis panduan ini juga akan menjadi rujukan penting untuk meningkatkan kualiti pengurusan kewangan bagi mengangkat integriti dan kemuliaan masjid dan surau sebagai institusi masyarakat yang dihormati melalui amalan tatakelola yang kemas dan teratur," titah Sultan Sharafuddin.

Terdahulu, baginda berkenan melancarkan buku garis panduan itu di Istana Alam Shah, Klang.

Sultan Selangor berharap, pentadbir masjid dan surau dapat mematuhi dan melaksanakan semua ketetapan yang digariskan dalam garis panduan itu.

"Pentadbir masjid dan surau yang tidak mengambil berat terhadap pengurusan kewangan, perolehan dan pengurusan aset akan menyebabkan masyarakat kurang yakin dengan kredibiliti dan integriti pentadbiran mereka," titah baginda.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 1:28 PM