SEBUAH rumah dua tingkat di Kampung Jelutong, Tobiar musnah 80 peratus dalam kebakaran. FOTO Ihsan Pembaca
SEBUAH rumah dua tingkat di Kampung Jelutong, Tobiar musnah 80 peratus dalam kebakaran. FOTO Ihsan Pembaca
Zuliaty Zulkiffli


“SAYA sekeluarga reda, namun kami bernasib baik tiada di rumah kerana dalam perjalanan ke Pekan Pendang untuk membeli barang berniaga ayam goreng di bazar Ramadan hari ini."

Begitu kata Mohd Fadzil Jahya, 21, selepas rumah keluarganya di Kampung Jelutong, Mukim Tobiar, Pendang musnah 80 peratus dalam kebakaran, malam tadi.

Mohd Fadzil berkata, rumah dua tingkat separa batu dan kayu itu yang berusia hampir 70 tahun didudukinya bersama isteri Zaharah Ghani, 32, dan bapanya Jahya Salleh, 77.

Menurutnya, ketika kejadian mereka bertiga dalam perjalanan ke Pekan Pendang, namun dia berasa tidak sedap hati apabila melihat jentera bomba menghala ke rumahnya.

“Kami kemudian membuat keputusan untuk mengekori jentera bomba itu sebelum terkejut melihat rumah sendiri yang terbakar.

“Rumah ini masih menggunakan kotak suis lama yang belum diganti, malah saya ada ke pejabat zakat untuk memohon bantuan membaiki rumah bocor pada petang semalam sebelum kebakaran,” katanya.

Katanya, sebelum ini dia sudah banyak kali meminta bantuan daripada pihak berkaitan, tetapi tiada maklum balas sehingga kejadian itu menimpa mereka sekeluarga.

“Rakan-rakan ada memberitahu ketika kejadian, terdengar letupan sebelum rumah ini musnah dalam kebakaran itu.

“Banyak barang-barang termasuk barang untuk berniaga saya musnah dalam kejadian ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang Penolong Penguasa Bomba Muhammad Ezzat Emran Ezani berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.54 malam tadi membabitkan kebakaran di sebuah rumah di Kampung Jelutong, Mukim Tobiar.

Katanya, sepasukan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II Abdul Manaf Yusof tiba di lokasi pada 9.05 malam bersama sebuah jentera dan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

“Setibanya di tempat kejadian, didapati api sedang marak dan disebabkan tingkat atas rumah itu berstruktur kayu, maka api merebak dengan cepat.

“Namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mei 2018 @ 2:30 PM