GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Seorang anggota tentera maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sultan Yahya Petra dari menghala Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ayer Panas, di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kemalangan jam 7.25 pagi itu berlaku berhampiran susur masuk ke Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke).

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila anggota tentera yang menunggang motosikal jenis Yamaha Nmax tidak berhenti semasa lampu isyarat merah.

"Mangsa kemudiannya merempuh sebuah motosikal jenis Honda Wave ditunggang seorang wanita berusia 39 tahun yang sedang membelok ke kanan dari arah PPR Ayer Panas untuk masuk ke susur Lebuhraya Duke," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa berusia 32 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi manakala mangsa wanita dalam keadaan kritikal kini dirawat di zon merah Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.

Katanya, bedah siasat terhadap mangsa yang maut akan dijalankan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras, di sini sejurus keputusan ujian Covid-19 selesai.

"Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 4:24 PM