MANGSA disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala. FOTO Juwan Riduan.
MANGSA disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala. FOTO Juwan Riduan.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seorang lelaki tidak menyangka mayat yang terbaring di atas jalan raya di Jalan Bambangan - Bantayan, di sini, adalah abangnya yang maut dalam kemalangan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.12 pagi itu, Eddie Larson Patrick, 23, dari Kampung Romukon, Penampang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Adik mangsa dikenali sebagai Lorenzo, 21, berkata dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bantayan untuk menemui abangnya.

"Ketika itu, saya dalam perjalanan dari Inanam menuju ke rumah di Bantayan kerana abang hendak datang ke rumah untuk menghantar kunci kenderaan.

"Ketika dalam perjalanan, saya melihat berlaku kemalangan membabitkan treler dengan sebuah motosikal.

"Lalu saya parkir ke tepi jalan dan keluar untuk melihat. Ketika itu saya sempat bertanya kepada pemandu treler apa yang berlaku. Pemandu itu menjawab kemalangan. Saya kemudian bergegas untuk melihat keadaan mangsa yang terbaring di atas jalan raya.

"Masa itu saya tidak menyangka apa-apa dan sempat memegang tubuh mangsa. Namun ketika melihat motosikal yang terperosok di bawah treler, barulah saya sedar mangsa itu adalah abang saya," katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan.

Menurutnya, dia kemudian cuba untuk mencari pemandu treler itu namun tiada di lokasi kemalangan.

"Saya terus mendakap abang dan meminta pertolongan orang awam yang berada di lokasi untuk menghubungi polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave seorang diri dari Kolombong menuju ke Bantayan manakala treler dengan muatan penuh kayu dipandu arah dari Bantayan Country Height menuju ke arah Inanam.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa disyaki masuk ke laluan bertentangan selepas melalui suatu selekoh menyebabkan treler yang dipandu lelaki berusia 48 tahun dari arah bertentangan cuba mengelak ke kanan jalan.

"Namun jarak yang sudah dekat, berlaku juga perlanggaran hingga menyebabkan mangsa tercampak ke lorong treler manakala motosikalnya terseret di bawah treler sejauh 50 meter dari kedudukan mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zaidi berkata, selepas kejadian itu, pemandu treler beredar awal dari lokasi kejadian untuk menghubungi majikan.

"Pada 5.40 pagi, pemandu itu serah diri ke Bahagian Siasatan Penguatkuasaan dan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth II (QEH II) akibat parah di kepala," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik QEH I untuk bedah siasat.

"Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2023 @ 4:46 PM