Pelajar wanita berusia 15 tahun maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda dipandu seorang lelaki di Jalan Penyabong Endau, Mersing, Johor. Foto tular
Pelajar wanita berusia 15 tahun maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda dipandu seorang lelaki di Jalan Penyabong Endau, Mersing, Johor. Foto tular
Mohamad Fahd Rahmat


Mersing: Pelajar perempuan berusia 15 tahun maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda dipandu seorang lelaki di Jalan Penyabong Endau, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Polis, Abdul Razak Abdullah Sani berkata, mangsa, Syuhada Zafirah Samin, yang baru turun dari bas sekolah sedang melintas jalan sebelum kejadian.

"Toyota Hilux dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun dari Penyabong hendak menuju ke Endau.

"Semasa pemandu tersebut bergerak lurus, mangsa melintas jalan secara tiba-tiba.

"Tindakan itu menyebabkan pemandu pacuan empat roda berkenaan tidak sempat mengelak dan melanggar pejalan kaki tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Mersing untuk rawatan selanjutnya, namun disahkan meninggal dunia jam 10.24 malam tadi.

"Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan jenazah pelajar tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ungku Husin itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teriang Endau, pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 5:47 PM