Graduan Sarjana Muda Sastera (Bahasa Inggeris) S Rishan Ponraj, 24, (kiri) yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU) berkongsi kejayaannya bersama ibunya, D Kalaivani, 53, pada Upacara Konvokesyen ke-61 USM di sini. FOTO DANIAL SAAD
Graduan Sarjana Muda Sastera (Bahasa Inggeris) S Rishan Ponraj, 24, (kiri) yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU) berkongsi kejayaannya bersama ibunya, D Kalaivani, 53, pada Upacara Konvokesyen ke-61 USM di sini. FOTO DANIAL SAAD
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Tidak sesekali mengalah. Itu kata-kata semangat yang dipegang graduan Sarjana Muda Sastera (Bahasa Inggeris) S Rishan Ponraj, 24, yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU), sepanjang melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM).

Graduan yang mempunyai masalah katarak dan glaukoma sejak lahir itu cemerlang dalam bidangnya dan turut memenangi tempat pertama dalam satu pertandingan membaca 'Braille' Peringkat Utara, ketika pengajian.

Rishan berkata, dia mendaftar sebagai pelajar di universiti itu ketika negara dilanda Covid-19 empat tahun lalu dan meneruskan pengajian secara dalam talian.

Hanya di tahun akhir selepas kebenaran rentas sempadan dengan prosedur operasi standard (SOP) tertentu, Rishan dapat merasai pengalaman belajar di kampus dan kuliah secara bersemuka.

"Pada masa ini, pembelajaran bagi OKU penglihatan sudah mudah kerana terdapat komputer, komputer riba atau peranti dengan alat pandu suara selain boleh muat turun aplikasi pembaca skrin yang membaca semula ayat pada bahan bacaan.

"Namun, cabaran utama ialah apabila bahan bacaan itu mengandungi gambar rajah kerana aplikasi berkenaan tidak mampu membacanya.

"Syukur kerana dikelilingi rakan yang sudi membantu dengan menulis semula keterangan daripada gambar rajah supaya sesuai dengan keupayaan aplikasi itu dan ia membuatkan saya terharu," katanya ketika ditemui bersama keluarga selepas Upacara Konvokesyen ke-61 USM di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Rishan turut berpesan kepada golongan yang senasib dengannya supaya ambil peluang dengan belajar atau meneroka pelbagai bidang mengikut keupayaan.

Anak kelahiran Dengkil, Selangor itu berkata, pada masa ini, banyak peluang sudah disediakan kepada golongan OKU terutama bagi yang mahu melanjutkan pengajian ke menara gading.

"Jika minat belajar, jangan putus asa dan sentiasa cari penyelesaian sekiranya ada masalah kerana ia akan menjadi 'pelajaran' dalam hidup yang paling berharga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 8:40 AM