RAFIZI, gambar fail. FOTO Bernama
RAFIZI, gambar fail. FOTO Bernama
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: PKR sudah memulakan persiapan rapi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon parti itu.

Jelajah Madani yang menjadi platform menerangkan usaha dan pembaharuan dilaksanakan Kerajaan Perpaduan mula digerakkan Selasa lalu bermula di Negeri Sembilan dan akan ke negeri lain dalam PRN sehingga 11 Ogos depan.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli memaklumkan bagi memastikan jentera di peringkat akar umbi bersedia sepenuhnya, majlis pelancaran serentak jentera dan bilik gerakan di semua Dewan Undangan Negeri (Dun) bakal ditandingi parti dilaksanakan.

"Program ini akan berlangsung secara serentak pada 7 Julai bagi Kelantan dan Terengganu, 8 Julai di Kedah dan Pulau Pinang dan 9 Julai bagi Selangor dan Negeri Sembilan.

"Majlis pelancaran ini akan bermula 9 malam dan terbuka untuk dihadiri masyarakat sekitar. Acara kemuncak program ialah penyerahan bahan kempen oleh wakil kepimpinan pusat PKR kepada Pengarah Pilihan Raya PKR bagi Dun berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Pilihan Raya PKR itu turut menjemput anggota parti yang ingin menawarkan diri sebagai calon PKR pada PRN untuk menghantar borang pencalonan mengikut kaedah yang telah ditetapkan Majlis Pimpinan Pusat Parti.

Bagi permohonan individu, mana-mana anggota PKR yang berminat boleh menawarkan diri sebagai calon dengan mengisi borang dalam talian yang boleh dilayari melalui pautan www.calonkeadilan.org.

Rafizi memaklumkan borang itu boleh diakses bermula hari ini sehingga tarikh tutup permohonan iaitu 10 Julai, 5 petang.

"Antara syarat kelayakan yang perlu dipenuhi ialah individu yang memohon mestilah anggota PKR yang berusia 18 tahun ke atas.

"Tidak muflis yang disahkan Jabatan Insolvensi, tidak memiliki rekod jenayah (selain daripada sabitan membabitkan kepentingan rakyat) dan mesti mengisytiharkan harta serta bersedia menandatangani bon ikrar setia sebagai Wakil Rakyat PKR," katanya.

Katanya, bagi permohonan oleh organisasi, kepemimpinan PKR di semua peringkat juga boleh menamakan calon yang dipersetujui di peringkat jawatankuasa masing-masing untuk diangkat kepada pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat.

"Proses ini terbuka kepada Jawatankuasa Cabang bagi kawasan yang ditandingi PKR, Majlis Pimpinan AMK Pusat (MPAMK) dan juga Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) PKR.

"Penamaan calon oleh Cabang, MPAMK atau MPWP ini perlu dibuat secara rasmi dan disahkan melalui minit mesyuarat yang ditandatangani oleh semua ahli mesyuarat yang hadir dan minit diserahkan kepada Jawatankuasa Calon selewat-lewatnya pada 5 petang, 10 Julai," katanya.

Rafizi memaklumkan bagi memahami sentimen pengundi yang mahukan parti-menampilkan calon yang berkualiti, PKR menetapkan sebuah proses saringan yang adil dan telus.

"Proses saringan ini akan dikendalikan oleh sebuah Jawatankuasa Calon yang dipengerusikan oleh saya selaku Pengarah Pilihan Raya dan dianggotai oleh semua Naib-Naib Presiden PKR seramai tujuh orang.

"Seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Parti, kuasa untuk memilih calon adalah hak mutlak Presiden PKR. Justeru Jawatankuasa Calon bertanggungjawab untuk membuat penapisan dan menyenarai pendek tiga calon terbaik untuk diangkat kepada Presiden yang seterusnya akan memuktamadkan satu nama sebagai calon," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian bagi PRN dan diadakan serentak di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 1:21 PM