Khaled Nordin ketika hadir pada Perasmian Sambutan 40 Tahun Hospital Universiti Sains Malaysia  (HUSM)  di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Khaled Nordin ketika hadir pada Perasmian Sambutan 40 Tahun Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggesa semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini supaya tidak taksub mengejar kedudukan universiti terbaik antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jika IPT mengejar kedudukan, mereka masing-masing tidak mahu berkongsi kepakaran.

"Justeru, kita (IPT) tidak perlu beri penekanan kepada ranking (kedudukan). Kita tidak perlu taksub sebab kita ingat sudah ada banyak kenyataan dan penulisan mengenai ranking dan banyak juga badan-badan antarabangsa yang melahirkan kebimbangan supaya kita tidak terima ranking ini bulat-bulat.

"Ia (kedudukan) tidak boleh mengukur secara umum semua universiti kerana setiap universiti diwujudkan untuk tujuan dan matlamat berbeza kerana ukuran yang digunakan antaranya ada yang lebih sesuai untuk negara maju. Ada (kedudukan) tidak sesuai untuk (IPT) di banyak negara lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Ulang Tahun ke-40 Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin dan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof Dr Shaharum Shamsuddin.

Mohamed Khaled berkata, ranking hanya boleh digunakan untuk melihat di mana kedudukan dan bukannya dijadikan sebagai asas sebuah universiti itu baik, cemerlang atau sebaliknyak.

"Tiga perkara ditekankan dalam sistem pendidikan tinggi untuk kerjasama bersepadu dan berkongsi sumber, kepakaran bergerak secara strategik supaya kita dapat bangunkan satu kepakaran," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, semua universiti tidak boleh terlalu taksub mengejar QS World University Rankings atau penarafan universiti antarabangsa kerana pendekatan itu tidak relevan apabila timbul percanggahan dan ketelusan terhadap penanda aras digunakan.

Ini kerana Institut Antarabangsa Berkaitan Global Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU) pernah membangkitkan soal ketelusan kaedah dan kualiti data digunakan QS ketika membuat penarafan sesebuah universiti.

Pada perkembangan lain, beliau berkata, HUSM adalah salah satu daripada hospital pengajar yang terdapat dalam sistem pendidikan tinggi negara.

"Kita ada 20 universiti awam dan 10 menawarkan program kesihatan. Kita ada lapan universiti yang sudah siap hospital pengajarnya

"HUSM antara yang terawal dan adalah penting untuk kita ada fakulti perubatan kerana melaluinya kita boleh tingkatkan usaha penyelidikan serta untuk penemuan ilmu baru.

"Dengan adanya hospital pengajar, kita juga akan mampu untuk melahirkan pakar dalam bidang perubatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 3:04 PM