HASLINA (kiri) bergambar bersama arwah ayahnya, Kalang, tahun lalu. FOTO ihsan Haslina Kalang
HASLINA (kiri) bergambar bersama arwah ayahnya, Kalang, tahun lalu. FOTO ihsan Haslina Kalang
Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: "Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan urusan saya bersama kakak dan adik perempuan pulang ke Tawau, Sabah untuk menatap dan mencium ayah (Allahyarham Kalang Tona, 56) buat kali terakhir," itu kata Haslina Kalang, 23.

Graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berkata, dia bersama kakak sulung, Kasnia, 24 dan adik, Haslinda, 20, yang sedang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bergegas pulang ke Tawau selepas menerima berita kematian ayahnya.

Graduan Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa dengan Kepujian berkata, mereka tiga beradik sempat memberi penghormati terakhir kepada ayah di surau Taman Bukit, Tawau.

"Selepas kami bertiga melihat dan mencium arwah ayah buat kali terakhir disusuli solat jenazah kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan untuk urusan pengebumian.

"Alhamdulillah, arwah ayah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Imam, Tawau pada 11 malam, kelmarin," katanya ketika dihubungi di sini.

Haslina anak kedua daripada lima beradik berkata, dia dan keluarga mengucapkan ribuan terima kasih atas segala bantuan, sumbangan serta doa yang diberikan oleh pihak UniSZA.

Menurutnya, berkat bantuan dari pihak UniSZA membolehkannya bersama kakak dan adiknya dapat segera pulang ke kampung.

"Selepas mendapat berita kematian ayah, saya terus buntu dan jika pihak UniSZA tidak membantunya sudah pasti kami tiga beradik mungkin tidak dapat menatap wajah terakhir arwah.

"Saya sangat-sangat bersyukur dan berterima kasih yang tidak terhingga kepada pihak UniSZA. Alhamdulillah, saya sempat tengok ayah untuk kali yang terakhir," katanya.

Menurutnya, selepas ini dia bercadang mahu mencari kerja kerana masih mempunyai dua adik lelaki yang bersekolah berusia 16 tahun manakala adik bongsu lapan tahun.

Kelmarin, media melaporkan berita sedih diterima Haslina daripada jiran di Tawau kira-kira 15 minit sebelum naik ke pentas untuk menerima ijazah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 1:11 PM