Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dilantik sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia yang ke enam berkuatkuasa hari ini. FOTO Ihsan APMM
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dilantik sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia yang ke enam berkuatkuasa hari ini. FOTO Ihsan APMM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dilantik sebagai Ketua Pengarah yang ke enam berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som yang telah bersara wajib pada Mac lalu.

APMM dalam kenyataan berkata, pelantikan Hamid diyakini akan meningkatkan keupayaan aset dan kompetensi APMM melalui aspek penguatkuasaan dan carilamat di samping memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi tempatan dan luar.

"Beliau dilahirkan di Selangor pada 19 April 1964 dan sebelum ini adalah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM serta berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 23 tahun sebelum diserapkan ke APMM sebagai pegawai perintis agensi ini pada 31 Oktober 2005.

"Memiliki pengalaman luas dalam pelaksanaan operasi maritim di perairan negara, termasuk Selat Melaka dan Sabah serta Sarawak dalam menjaga keselamatan negara daripada pelbagai ancaman khasnya jenayah rentas sempadan dan pernah memegang pelbagai jawatan termasuk dilantik sebagai Ketua Staff Bahagian Penguatkuasaan Maritim di Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) pada tahun 2019.

"Beliau turut diberikan tanggungjawab menjadi Pengarah di Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Ibu Pejabat Maritim Malaysia pada 2021, seterusnya pada Mac lalu beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia," katanya.

Menurutnya, berdasarkan perancang strategik dan atur gerak aset yang bijak, beliau telah mencapai banyak kejayaan melalui penahanan dan pendakwaan kes berprofil tinggi seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia, minyak, kontraban dan barangan kawalan yang melanggar undang-undang negara.

Malah beliau juga terbabit dalam pelbagai inisiatif untuk memperkuatkan hubungan kerjasama antara Maritim Malaysia dengan nelayan serta komuniti maritim dalam usaha mempertingkatkan keselamatan maritim negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2023 @ 4:43 PM