Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengarahkan supaya projek pembangunan semula di Kampung Sungai Baru, di sini, tidak ditangguhkan lagi selepas ia sudah tertangguh sejak enam tahun lalu.

Mengesahkan demikian, Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya dimaklumkan perkara itu bulan lalu menerusi Pejabat Perdana Menteri (PMO).

"PMO sebelum ini sudah memberikan penangguhan sehingga 31 Oktober. Sekarang Oktober dah habis, masuk November, no more extension (tiada lagi penangguhan), pemaju kena selesaikan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana beliau bersetuju bahawa tidak ada lagi extension," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Deeepavali di Dewan Yayasan Bena Nusa, Taman Maluri, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Seramai 700 komuniti kaum India di Parlimen Titiwangsa menerima kuih raya dan wang tunai RM100.

Johari yang juga Naib Presiden Umno berkata, projek pembangunan semula di Kampung Sungai Baru yang tertangguh sudah lama itu dikhuatiri menjadi sarang penagih dadah dan tempat tikus membiak.

Februari lalu, penduduk Kampung Sungai Baru menyerahkan memorandum supaya kerajaan membatalkan penangguhan projek pembangunan kawasan itu seperti diumumkan Perdana Menteri.

Majoriti penduduk mahu pembangunan semula kawasan itu yang tertangguh sejak enam tahun lalu diteruskan.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak 2016.

Sesetengah penduduk terutama penghuni rumah teres tidak bersetuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWKL).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 1:27 PM