DUA pisau yang disyaki digunakan untuk menikam lelaki warga Myanmar sehingga maut. FOTO Ihsan Polis
DUA pisau yang disyaki digunakan untuk menikam lelaki warga Myanmar sehingga maut. FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Kajang: Angkara selisih faham dengan rakan sekerja, seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam dalam pergaduhan di sebuah kilang perabot di Sungai Lalang, Semenyih di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, polis menerima laporan kejadian daripada majikan mangsa pada 1.42 pagi.

"Sepasukan pegawai dan anggota bersama pegawai perubatan Hospital Kajang bergegas ke lokasi, namun mangsa berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia.

"Pemeriksaan mendapati terdapat luka tikaman di bahagian kiri perut mangsa. Mayat dibawa ke Hospital Kajang untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan soal siasat, saksi mendakwa ketika kejadian mangsa mabuk dan berlaku perselisihan faham sehingga dicederakan oleh dua rakan sekerja yang bertindak melarikan diri selepas kejadian.

Bertindak atas maklumat, katanya, polis berjaya menahan dua lelaki warga Myanmar berusia 24 dan 28 tahun di kawasan Sungai Buloh, pada 12.35 tengah malam.

Mohd Zaid berkata, penahanan suspek itu kemudian membawa kepada penemuan dua pisau di kawasan kilang berkenaan yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, keputusan bedah siasat juga mengesahkan mangsa mengalami kecederaan pada abdomen akibat ditikam objek tajam sehingga kehilangan banyak darah.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 10 November dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan S Vekram di talian 019-4737108.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 7:20 PM