WAN Rosdy (tiga kiri) pada Himpunan Pahang For Palestine di Kuantan. FOTO Asrol Awang
WAN Rosdy (tiga kiri) pada Himpunan Pahang For Palestine di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengakui tersasul menyebut "Palestin hancur" ketika berucap pada Himpunan Pahang For Palestin di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, beliau selaku penyelaras seketeriat himpunan itu terpanggil mengulas isu yang sengaja ditularkan di media sosial.

Katanya, penularan video itu susulan kesilapan tutur kata Menteri Besar Pahang ketika berucap yang menyebut "Palestin hancur."

"Saya berada di tempat kejadian ketika Menteri Besar Pahang berucap penuh semangat dan ketika itu berlaku kesilapan tutur kata.

"Saya segera memaklumkan kepada Menteri Besar dan beliau segera membetulkan kesilapan dan mengaku tersasul dan minta kesilapan itu tidak dihebahkan kepada umum," katanya.

Fadzli berkata, Menteri besar tidak langsung berhasrat menyokong Israel dan tidak sepatutnya kesilapan itu ditularkan di media sosial.

"Banyak benda lain yang boleh dihebahkan kepada umum pada himpunan itu iaitu Kerajaan Pahang menyumbang RM100,000 kepada Tabung Palestin 2.0.

"Pada masa sama, Menteri Besar dengan nada tegas dan berani kecamPertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana gagal mengambil tindakan tegas terhadap kekejaman Israel," katanya.

Berdasarkan rakaman video berdurasi 20 saat itu, Wan Rosdy menyebut "Palestin hancur" sebelum meminta maaf atas kesilapan tutur kata.

Semalam, lebih 6,000 orang menyertai himpunan yang dianjurkan Kerajaan Pahang itu bagi melahirkan rasa simpati dan solidariti terhadap nasib malang rakyat Palestin yang terus ditindas, dizalimi dan dibunuh rejim Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 1:20 PM