AL-Sultan Abdullah  (kanan) bersama Sultan Ibrahim (kiri) pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 yang berlangsung di Istana Negara hari ini. FOTO Bernama
AL-Sultan Abdullah (kanan) bersama Sultan Ibrahim (kiri) pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 yang berlangsung di Istana Negara hari ini. FOTO Bernama
Nor Azizah Mokhtar dan Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Majlis Raja-Raja zahir penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana memikul tanggungjawab sebagai Payung Negara dengan penuh amanah, bijaksana serta sempurna.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah, ini kerana pelbagai cabaran dihadapi Al-Sultan Abdullah ketika menjadi Ketua Negara namun kesemuanya dapat diselesaikan dengan sebaiknya.

Baginda bertitah, beberapa masalah yang sangat mencabar berlaku ketika pemerintahan Al-Sultan Abdullah termasuk wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia serta pergolakan politik sehingga membabitkan pelantikan empat Perdana Menteri.

"Namun begitu, kesemua masalah berkenaan berjaya diselesaikan, berkat kebijaksanaan Paduka Adinda (Al-Sultan Abdullah) berunding dengan pemimpin politik serta dengan Yang Maha Mulia Raja-raja.

"Kejayaan Paduka Adinda bukan sahaja dalam menyelesaikan kemelut politik, tetapi juga dalam menyantuni rakyat jelata.

"Kembara Borneo yang julung kali diadakan, berjaya mendekatkan hubungan raja dengan rakyat serta meningkatkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara.

"Akhir kata, Paduka Kekanda dan Ahli-ahli Majlis sekalian, berdoa ke hadrat Allah SWT supaya dikurniakanNya kebahagiaan, keberkatan dan rahmat yang berkekalan kepada Paduka Adinda dan keluarga," titah baginda ketika Perutusan Raja Pengerusi Majlis Raja-Raja ke-262, DYMM Sultan Johor kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke-16, hari ini.

Mesyuarat selama dua hari bermula semalam itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 22 dan 23 Februari lalu yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat ke mesyuarat berkenaan ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah Sultan Sharafuddin; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah; Perlis oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam; Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Sarawak diwakili Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghadiri mesyuarat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 7:11 PM