Anthony Loke ketika meninjau pembinaan dan pemasangan set berkenaan di kilang Wuhu, Anhui, China. FOTO Instagram Anthony Loke
Anthony Loke ketika meninjau pembinaan dan pemasangan set berkenaan di kilang Wuhu, Anhui, China. FOTO Instagram Anthony Loke
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Set pertama perkhidmatan penggerak penumpang automasi (Aerotrain) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sedang dibina di China bakal dibawa ke Malaysia tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek dilaksanakan di kilang Wuhu, Anhui, China, itu usaha sama antara syarikat Alstom dengan China Railway Construction Corporation Limited (CCRC) kini sudah mencapai 90 peratus kemajuan.

"Saya amat mengambil berat masalah Aerotrain di KLIA yang berkaitan nama baik Malaysia.

"Semasa (lawatan) di China, saya ke Wuhu, Anhui untuk melawat kilang di mana Aerotrain baharu sedang dibina.

"Saya diberikan taklimat dan dimaklumkan set pertama Aerotrain dengan reka bentuk yang ditambah baik hampir siap dan dijangka dihantar ke Malaysia tahun depan," katanya dalam Facebook dan Instagram, hari ini.

Dalam rakaman video berkenaan, Loke menunjukkan beliau meninjau proses pembinaan dan pemasangan Aerotrain di kilang terbabit.

Mengulas lanjut, Loke berkata, reka bentuk Aerotrain itu sama seperti asal iaitu tidak mempunyai tempat duduk kerana hanya menghubungkan dua terminal dalam jarak dekat.

"Tapi ada penambahbaikan dari segi kemudahan dan keluasan iaitu ada kerusi disediakan untuk warga emas dan sebagainya.

"Selain itu, reka bentuk tingkap lebih besar untuk memastikan pemandangan di luar lebih baik dan cerah," katanya.

Dengan perkembangan itu, beliau berharap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dapat menyelesaikan isu kontrak supaya perkhidmatan Aerotrain di KLIA dapat dikembalikan pada kadar segera.

Sebelum ini, perkhidmatan Aerotrain KLIA yang menjadi penyambung antara Terminal Utama dan Terminal Satelit dihentikan sementara bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek menaik taraf kemudahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 4:54 PM