GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok dilanjutkan dan dijenamakan semula.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bermula jam 6 petang esok ia akan diganti kepada Perintah Kawalan Pergerakan ESSZONE Sabah No.1

"Ia bagi menyambung Perintah Berkurung Sabah No. 220 yang akan tamat jam 6 petang esok.

"Perintah kawalan pergerakan ini membabitkan perairan sama kecuali di Tawau memandangkan statistik menunjukkan tahap ancaman yang rendah dan kawalan keselamatan di perairan itu yang memuaskan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, perintah berkurang yang mula dikuatkuasakan sejak 16 Julai 2014 di perairan Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan itu penting bagi mengekang ancaman pengganas Sulu dan pencerobohan sempadan.

Katanya, ia juga bagi mengelakkan kejadian penculikan untuk wang tebusan (KFR) di kawasan timur perairan negeri Sabah, selain penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

"Perintah berkurung ini sudah diperluaskan untuk meliputi kawasan Tawau, Kinabatangan dan Beluran.

"Perintah Kawalan Pergerakan ini diperlukan bagi memastikan perairan tidak diancam dan pelaksanaannya akan menjamin keselamatan rakyat Sabah di kawasan ESSZONE," katanya.

Orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dilarang menghampiri atau berada di kawasan diisytihar antara jam 6 petang hingga jam 6 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 4:10 PM