GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyelaraskan semua kutipan dana bantuan kemanusiaan bagi negara bergolak serta berdepan bencana seperti Palestin, Maghribi, Afghanistan dan Libya.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penyelarasan itu bagi memastikan tiada individu atau pihak mengambil kesempatan atas alasan mengutip khairat untuk tujuan manfaat, faedah kepentingan dan pembangunan umat Islam.

"Sebagaimana diketahui umum, keadaan konflik di Palestin yang terus bergolak sejak 7 Oktober sehingga kini masih belum berakhir.

"Seluruh masjid dan surau di Selangor terus diseru untuk membaca doa Qunut Nazilah dan melaksanakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan, ketabahan, dan kemenangan perjuangan rakyat Palestin.

"Justeru, Jais melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Negeri Selangor (Tijari) menubuhkan Tabung Kemanusiaan Palestin bagi menyelaras semua kutipan dana yang dikumpul daripada seluruh masjid dan surau di Selangor," katanya.

Sehubungan itu katanya, orang awam disarankan untuk menyalurkan derma ke tabung berkenaan yang dibuka di masjid-masjid dan surau-surau di Selangor.

"Orang awam juga boleh terus menyumbang ke akaun Maybank Tijari: 562106718620 dengan menyatakan rujukan penerima (Recipient Reference) dengan nama Pray For Gaza," katanya.

Pada masa sama Mohd Shahzihan berkata, Jais turut menyelaras semua kutipan untuk agihan bantuan akibat bencana banjir di Libya dan gempa bumi di Maghribi serta Afghanistan.

"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk menyalurkan sumbangan melalui tabung sama yang diwujudkan atau ke nombor akaun bank Tijari.

"Jais juga akan memastikan semua sumbangan akan disalurkan terus dan tepat kepada sasaran melalui pihak-pihak yang berautoriti yang diiktiraf oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 8:30 AM