GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan task force siasatan membabitkan isu 3R (bangsa, agama dan raja) yang berperanan menyiasat kes membabitkan penghinaan terhadap agama, kaum dan Institusi Diraja.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, task force ini diketuai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan siasatan akan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Menurutnya, objektif task force adalah untuk memastikan siasatan dijalankan dengan kadar segera dan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh tujuh tujuh hari.

"Bagi tempoh 27 Mac lalu sehingga Khamis lalu, sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka membabitkan kes 3R. Daripada jumlah itu, empat kes berkaitan penghinaan Institusi Diraja, dua kes membabitkan penghinaan agama dan satu kes membabitkan elemen perkauman.

"Setakat ini, (daripada tujuh kes) dua individu sudah ditahan membabitkan kes penghinaan terhadap Institusi Diraja dan perkauman, manakala seorang suspek sedang dalam proses dikesan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Noorsiah berkata, daripada tujuh kertas siasatan, tiga dirujuk ke pejabat peguam negara selari dengan peruntukan artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, manakala empat kes lagi masih dalam siasatan USJT.

"PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik gambar, video sensitif dan seumpamanya yang melangkaui aspek 3R.

"Sebarang bentuk penularan berita palsu, berkecenderungan menghasut atau ugutan yang boleh menyebabkan kegentaran awam melalui platform media sosial akan diambil tindakan undang-undang mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1948 dan kesalahan yang termaktub di bawah kanun keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 5:00 PM