PETIKAN video menunjukkan suspek yang cuba menyamun warga emas. FOTO ihsan pembaca
PETIKAN video menunjukkan suspek yang cuba menyamun warga emas. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Subang Jaya: Lelaki warga emas cedera selepas disamun empat lelaki di kawasan perumahan di USJ 12, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, 9.33 malam tadi.

Katanya, mangsa cuba disamun oleh empat lelaki menaiki dua motosikal Yamaha Y15 di lokasi terbabit.

"Suspek yang bersenjatakan sebilah parang cuba merampas kereta Toyota Camry milik mangsa, namun lelaki berkenaan melawan menyebabkannya cedera di pipi akibat pergelutan itu," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal dilakukan mendapati suspek dipercayai mengekori mangsa yang baru pulang ke rumah untuk menyamunnya.

"Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohammad Faiz Naufal Zakaria di talian 019-4858907 bagi membantu siasatan.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih berwaspada apabila memandu bersendirian terutama pada waktu malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 3:43 PM