MUHAMMAD Sanusi (tengah) mengadakan sidang media selepas mesyuarat exco di Wisma Darul Aman. FOTO Syaharim Abidin
MUHAMMAD Sanusi (tengah) mengadakan sidang media selepas mesyuarat exco di Wisma Darul Aman. FOTO Syaharim Abidin
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kesal dengan laporan tanpa fakta yang tepat sehingga memberi gambaran seolah-olah Kedah menjadi punca negara kekurangan beras tempatan.

Katanya, berita yang disebarkan itu seolah-olah kejadian itu baru berlaku di bawah pentadbirannya sedangkan tiada sebarang tindakan mahkamah diambil untuk membawa mereka yang didakwa terbabit ke muka pengadilan dalam kes berkenaan.

Muhammad Sanusi yang dilantik sebagai Menteri Besar Kedah ke-14 pada Mei 2020 berkata, pada 2 Mac 2016, Kedah Agro Holdings Bhd (KAHB) menandatangani perjanjian kontrak pembuatan dan bekalan bersama Syarikat Prolink Marketing Sdn Bhd (Prolink).

Jelas beliau, berdasarkan rekod perjanjian itu ditandatangani oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah KAHB, Allahyarham Datuk Ahmad Zaini Japar yang ketika itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kayu Hitam bersama wakil syarikat Prolink iaitu C Pubendran dan C Kuganeswaran sebagai saksi.

Katanya, projek membabitkan pemasaran beras keluaran KAHB yang membabitkan tiga jenis beras iaitu Beras Agro Super Special Tempatan, Beras Agro Super Spesial Import dan Beras Agro Sona Mahsuri dalam pek berkapasiti lima kilogram (kg) dan 10 kg dengan nilai RM 102,480,000 bersamaan 28,800 tan.

"Perjanjian ini adalah kontrak bagi perniagaan beras, Prolink membekalkan beras kepada KAHB, manakala KAHB pula menjualkannya kepada Syarikat Central Regional Distribution Center Sdn Bhd (CRDC)... yang ini tiada sebarang perjanjian atau kontrak yang mengikat di antara KAHB dan CRDC.

"Transaksi jualan dan belian bermula pada November 2016 sehingga November 2017 dengan jumlah transaksi keseluruhan seperti berikut iaitu jualan Prolink kepada KAHB RM54,085,75, jualan KAHB kepada CRDC RM54,900,030 dan jumlah margin atau komisen RM814,280," katanya pada sidang media selepas mesyuarat EXCO di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan kepincangan dalam pengedaran beras negara selepas berjaya membongkar kegiatan penipuan pembekalan 28,000 tan beras bernilai RM100 juta di Kedah.

Difahamkan, kegiatan penipuan itu terbongkar apabila SPRM mengesan berlaku aktiviti mencurigakan dan berunsur rasuah membabitkan syarikat yang mendapat kontrak pembekalan beras daripada sebuah syarikat pertanian bernilai lebih RM100 juta setahun kira-kira tujuh tahun lalu bagi pembekalan beras di Semenanjung Malaysia.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, sehingga Februari 2018, KAHB menerima sebanyak RM11,066,400 bayaran dari CRDC dan KAHB melunaskan bayaran kepada Prolink sebanyak RM10,785,000 dengan margin keuntungan berjumlah RM 281,400.00.

Katanya, baki bayaran yang belum terima daripada pihak CRDC dan belum dibayar kepada pihak Prolink oleh KAHB adalah seperti berikut.

"Pemiutang, Prolink RM43,833,630, penghutang CRDC RM43,300,750, jumlah margin atau komisen RM532,880, " katanya.

Muhammad Sanusi berkata, ketika Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara Bilangan Satu 2019 yang diadakan pada 17 Januari 2019 di Cyberjaya, Ketua Pegawai Eksekutif memaklumkan bahawa semua urus niaga pemasaran beras dihentikan.

Katanya, atas nasihat Jawatankuasa Tindakan Laporan Ketua Audit Negara, laporan polis dibuat oleh Kedah Agro melalui Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Agro, Zulkifli Ahmad Rashidi, pada 13 Mac 2019.

"Kemudiannya SPRM dan Bahagian Kawalselia Padi dan Beras juga sudah membuat siasatan dan memanggil pegawai yang berkenaan untuk dirakamkan kenyataan.

"Pihak Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah juga melakukan Audit Khas pada 18 April 2019 berhubung isu pemasaran beras agro," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 10:04 PM