Mat Ruzi Mat Ali, 51, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki selaras senapang angin yang menyalahi undang-undang di sebuah stor di Kampung Kemuntong Jelor, Pasir Puteh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mat Ruzi Mat Ali, 51, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki selaras senapang angin yang menyalahi undang-undang di sebuah stor di Kampung Kemuntong Jelor, Pasir Puteh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Oleh Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki selaras senapang angin tanpa kebenaran yang sah, 17 Februari lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Mat Ruzi Mat Ali, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki selaras senapang angin yang menyalahi undang-undang di sebuah stor di Kampung Kemuntong Jelor, Pasir Puteh, jam 3 pagi, pada 17 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat tidak kurang enam kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalna Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Abu Arsalna tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Mahkamah menetapkan 9 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 1:55 PM