GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Seramai 2,200 penguat kuasa turun padang bagi memantau bekalan makanan, harga barang dan membanteras aktiviti pencatutan setiap hari.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata, seramai 900 pegawai pemantau harga turut ditempatkan di seluruh negara bagi memeriksa harga barangan yang dijual oleh premis seluruh negara.

"Pada masa sama, pegawai penguat kuasa kita ada jadual tetap dan mereka juga menerjah serta membuat pemeriksaan secara mengejut di premis kedai.

"Selain itu, ada juga yang berpakaian preman, mereka berpakaian orang biasa dan menyiasat keadaan di kedai-kedai," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS - Sri Aman) berkaitan penguatkuasaan dilaksanakan kementerian bagi memantau bekalan dan harga barang dalam pasaran.

Menjawab soalan tambahan daripada Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berkaitan kos ditanggung kerajaan bagi melaksanakan Jualan Rahmah, Fuziah berkata, pihaknya mendapat subsidi RM150 juta untuk melaksanakan program berkenaan.

"Kita mendapat RM150 juta. RM100 juta diluluskan di Parlimen untuk Bajet 2023 dan RM50 diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai tambahan.

"Setakat ini kita sudah menyantuni empat juta rakyat Malaysia dalam Program Jualan Rahmah dan nilai jualannya RM890 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 12:25 PM