PENILAIAN fizikal Empangan Kenyir dikategorikan sebagai baik dan selamat. FOTO ihsan TNB
PENILAIAN fizikal Empangan Kenyir dikategorikan sebagai baik dan selamat. FOTO ihsan TNB
Wartawan HM

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah membuat pemeriksaan berkala secara bulanan terhadap semua empangan hidroelektrik dan melaksanakan audit integriti struktur setiap enam bulan bagi memastikan ia berfungsi dengan baik selain mengenalpasti potensi risiko yang mungkin timbul.

Malah, Penilaian Keselamatan Empangan (Dam Safety Review) oleh pakar empangan bebas dilaksanakan setiap lima tahun yang selaras dengan garis panduan antarabangsa International Commission on Large Dam (ICOLD).

Tujuannya untuk memastikan struktur seperti alur limpah (spillway), muka sauk (intake), empangan pelana (saddle dam) dan sebagainya berfungsi dengan baik serta menilai keadaan empangan dalam menjamin keselamatan dan integritinya.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Ir Muhamad Nazri Pazil berkata, pemeriksaan dijalankan dengan teliti oleh anak syarikat milik penuh TNB iaitu TNB Genco dan berdasarkan garis panduan di Malaysia iaitu Malaysia Dam Safety Management Guidelines (MyDams, 2017).

Beliau berkata, langkah itu membolehkan empangan TNB kekal utuh bukan saja untuk membekalkan bekalan elektrik kepada Grid Nasional, malah berfungsi sebagai sistem tebatan banjir dan sumber bekalan air untuk kegunaan domestik termasuk air bersih.

"Amalan penyelenggaraan dipertingkatkan di empangan TNB merangkumi Stesen Janakuasa Sungai Perak, Kenyir dan Cameron Highlands terutamanya menjelang musim tengkujuh.

"Ia dapat membantu meminimumkan kesan bencana alam seperti yang dialami empangan terbesar di Semenanjung Malaysia, Stesen Janakuasa Sultan Mahmud (SJSM) yang mana struktur Empangan Kenyir didapati kekal kukuh dan selamat untuk beroperasi selepas dilanda banjir besar pada awal tahun lalu," katanya.

Selain itu, kata Nazri, adalah menjadi amalan TNB melaksanakan pengurusan paras air empangan melalui pelepasan terkawal, latihan pengungsian dan ujian tahap ketersediaan bersama agensi kerajaan menjelang musim tengkujuh.

"Sebagai langkah berjaga-jaga pihak TNB memasang siren keselamatan di sekitar kawasan berdekatan empangan TNB.

"Sebelum musim tengkujuh tiba, paras air empangan diturunkan melalui pelepasan terkawal bagi membolehkan empangan mampu menakung jumlah air hujan banyak.

"Untuk makluman, semua empangan hidroelektrik TNB kini berada dalam keadaan baik serta kukuh, manakala air yang dilepaskan untuk penjanaan elektrik adalah terkawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 2:05 PM