Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap pelayan bar kerana khianat dan merosakkan harta benda termasuk menyimbah cat merah di kawasan rumah, Ogos lalu.

Majistret Siti Nora Sharif menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Shaz Erfan Adril Abdul Jalil, 22 yang mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan.

Shaz Erfan didakwa menyimbah cecair merah, menampal nota dan memecahkan cermin kereta Honda City yang diletakkan di hadapan rumah di Jalan Menglembu Impiana 9, Taman Menglembu Impiana Adril di sini antara 2 pagi dan 3 pagi, 19 Ogos lalu, yang menyebabkan pemiliknya kerugian kira-kira RM1,000.

Dia juga dituduh melakukan perbuatan sama di alamat sama terhadap masing-masing kereta Honda HRV dan Perodua Alza antara 2 pagi hingga 3 pagi, 26 Ogos lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Nabilah Norzam, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) M Kanthan.

PELAYAN bar yang dipenjara 18 bulan kerana melakukan khianat dan merosakkan harta benda termasuk menyimbah cat merah. FOTO L Manimaran.
PELAYAN bar yang dipenjara 18 bulan kerana melakukan khianat dan merosakkan harta benda termasuk menyimbah cat merah. FOTO L Manimaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 3:42 PM